Sukan SEA Ke-33 dirasmikan





Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad, Tangkap layar RTBGo






BANGKOK, Selasa, 9 Disember. - Stadium Negara Rajamangala bermandikan cahaya penuh warna-warni sebagai simbolik persahabatan yang harmoni bagi Negara-negara Anggota ASEAN pada Upacara Pembukaan Rasmi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 yang membawakan tema, 'Amity of ASEAN' yang penuh gilang-gemilang.


Berkenan berangkat ke upacara tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, SEA Games Federation Honorary Life President dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Ribuan penonton yang hadir dihiburkan dengan lima segmen persembahan, diikuti dengan barisan lalu daripada Kontinjen Thailand yang membawa bendera Thailand disusuli dengan 11 bendera negara yang menyertai temasya Sukan SEA dan Bendera Rasmi Persekutuan Sukan ASEAN.


Lebih 12,506 ribu atlet yang mewakili kontinjen negara masing-masing masuk dengan megah yang didahului oleh kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD), Kemboja, Republik Indonesia, Malaysia, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand, Republik Demokratik Timor-Leste, Republik Sosialis Viet Nam dan negara tuan rumah, Thailand.


Bendera NBD diarak dan dikibar megah oleh atlet Wushu, Awang Walid Lachkar dan atlet Bola Jaring, Dayang Nur Hafizah Sidek mendahului kontinjen NBD yang diketuai oleh Chef de Mission kontinjen NBD ke Sukan SEA, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim. NBD diwakili oleh 65 atlet yang menyertai sembilan acara sukan.


Upacara Pembukaan Rasmi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua, Raja Thailand dan diikuti dengan pembacaan ikrar daripada semua atlet.


Ini merupakan kali ketujuh Thailand menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar yang melibatkan Negara-negara Anggota ASEAN setelah menjadi tuan rumah bagi temasya tersebut 18 tahun lalu iaitu pada tahun 2007.

 

Close